Wednesday, November 22, 2017

Aplikasi QR di semua universiti


BERMULA Jun depan, semua 20 Universiti Awam (UA) akan dijadikan kampus pintar atau kampus digital selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengadaptasi teknologi dalam pendidikan tinggi negara.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, ketika ini Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sudah mengaplikasikan bacaan kod Respons Pantas (QR) kepada penuntutnya.

"Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh sudah meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) supaya semua UA dijadikan kampus pintar menjelang Jun 2018.

"Ini bermakna penuntut akan menggunakan kod QR untuk setiap pembelian, pendaftaran, meminjam buku dan sebagainya, jadi sebarang urusan di kampus akan beroperasi tanpa tunai dan kad," katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Pengurusan Universiti Berkaitan Kerajaan (GLU) 2017 di Putrajaya, hari ini.

Forum Pengurusan GLU 2017 dianjurkan gabungan empat universiti GLU iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) yang dinamakan 'Industry Driven Higher Education Alliance (IDEA)'.

Tahun ini, forum membincangkan kesan dan cabaran Revolusi Industri 4.0 terhadap pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi serta pembangunan mahasiswa.

Siti Hamisah berkata, usaha menjadikan UA sebagai kampus digital adalah sebahagian daripada Pendidikan 4.0 yang menyediakan garis panduan mengenai pendidikan tinggi negara dalam mendepani cabaran dan memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0.

Sementara itu, beliau berkata, rangka kerja Pendidikan 4.0 dijangka dibentangkan kepada Kabinet tahun depan selepas diperhalusi di peringkat kementerian.

Katanya, ketika ini, kementerian masih turun padang untuk memberi penerangan dan penjelasan berhubung Pendidikan 4.0 kepada pihak berkepentingan sebelum mendapat maklum balas mengenainya.

"Kita kena pastikan semua pihak bersedia dengan Pendidikan 4.0 barulah boleh dilaksanakan. Kita juga sedang menyediakan dokumen Pendidikan 4.0, sebelum dimuktamadkan," katanya.

Beliau berkata, rangka kerja Pendidikan 4.0 mempunyai empat elemen iaitu kurikulum yang fleksibel, kerajaan yang tangkas, kajian dan bakat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 4:23 PM
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my
Sumber : Harian Metro

0 comments:

Contact Me

Snap & Read with QRCODE Reader

http://zxing.appspot.com/generator/