Khutbah Terakhir Nabi Muhammad SAW (Hayati)

 Menghayati Khutbah Terakhir Rasulullah SAW



“Aku berwasiat/berpesan kepada kalian dan kepada diriku agar bertakwa kepada Allah. Maka berjayalah orang-orang yang bertakwa”. Seruan  Ittaqullah (bertaqwalah kamu kepada Allah) di peringat saban minggu kala khutbah Jumaat bergema. Pesanan dan  nasihat kepada para jemaah supaya bertakwa kepada Allah SWT.

Berbekalkan pesanan inilah, menggerakkan Ustaz Mohd Meeftah Anuar berkongsi tentang kehebatan khutbah dalam membangunkan umat yang suka berpesan-pesan  menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm Rabu jam 10.15 pagi.

Rasulullah SAW bersabda daripada Ibn Umar RA mafhumnya, “Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang yang mengembara.” (HR al-Bukhari). Sebagai hamba Allah, perlu kepada sikap zuhud dan sedar bahawa kehidupan adalah suatu pengembaraan dan perjalanan ke syurgaNya. Maka, jauhi daripada mementingkan dunia atau tamak dengan dunia. Sebaliknya menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang memberi faedah jangka panjang dan saling ingat-mengingatkan antara satu sama lain tentang tujuan kehidupan di dunia ini. Salah satu caranya menerusi penyampaian khutbah.

Khutbah dari sudut bahasa membawa maksud ‘perkataan yang disampaikan di atas mimbar’. Berasal dari bahasa Arab ‘mukhathabah’ yang berarti pembicaraan. Selain itu, khutbah juga dikatakan berasal dari perkataan ‘al-khatbu’ yang bererti perkara besar yang dibincangkan, karana orang-orang Arab tidak berkhutbah kecuali pada perkara besar sahaja. Namun begitu, secara istilah, sebahagian ulama mendefinisikan khutbah sebagai perkataan tersusun yang mengandung nasihat dan informasi. Terdapat beberapa jenis khutbah iaitu khutbah Jumaat, khutbah dua hari raya, Khutbah Arafah dan khutbah gerhana, khutbah Istisqa dan khutbah nikah.

Rasululah SAW bersabda; “Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.” Awal bicara pesan terakhir Rasulullah SAW kepada ribuan jemaah haji pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah yang juga merupakan Haji Wida’ di Lembah Uranah, Bukit Arafah. Hebatnya mukjizat Rasulullah SAW menerusi amanat baginda. Ironinya, rasa jemu tidak bertandang walau acapkali khutbah ini dikumandangkan. Khutbah yang di sampaikan saat Rasulullah dapat merasakan bahawa usianya tidak lama lagi di alam fana ini. Khutbah yang bener-benar di beri penekanan oleh Baginda untuk didengar bersungguh-sungguh dan di sampaikan sehingga akhir usia bumi ini.

Khutbah Hujjatul Wada penting kerana di dalamnya terkandung mesej yang perlu difahami, diingati dan diikuti umat Islam walaupun selepas kewafatan Rasulullah SAW. Jika diamati, hampir semua mesej disampaikan Baginda menyentuh hubungan sesama manusia. Antaranya berkenaan hak asasi manusia iaitu kesucian darah manusia yang tidak patut ditumpahkan ke muka bumi dengan sia-sia. Semua insan harus bersama menjaga kesucian itu menerusi khutbah baginda yang bermaksud, “Wahai manusia! Darah dan harta kamu mesti dihormati sehingga kamu bertemu kembali dengan Tuhan kamu. la mesti dihormati seperti kehormatan hari kamu ini (hari Arafah) dan kehormatan bulan kamu ini (bulan haram Zulhijjah).” Justeru, Ustaz Miftah berpesan untuk sentiasa menjaga kesucian bulan Zulhijjah dan bumi Mekah terutama bagi yang menunaikan ibadah haji untuk menjaga kesuciannya kala menegerjakan ibadah tersebut. Hindari daripada berkata buruk tentang kota suci apatah lagi menunjukkan akhlak-akhlak buruk ketika berada di bumi suci seperti merempuh, bergaduh dan bertolak-tolak ketika melaksanakan ibadah haji dan umrah.

Mesej kedua yang terkandung dalam khutbah juga menyebut mengenai penjagaan harta. Ia menekankan tentang kesucian harta milik seseorang sepatutnya tidak diganggu atau diambil individu lain tanpa persetujuan pemiliknya dengan berkata, “Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.”. Maka, kembalikan hak  kepada pemiliknya yang hak dan Rasulullah memandang berat tentang hutang sebagaimana sabdanya yang bermaksud, “Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)”. (Hadis Riwayat Muslim). Baginda menambah dalam khutbahnya, “Semua amalan riba dihapuskan. Namun kamu berhak memiliki modal kamu tanpa kamu menzalimi atau dizalimi. Allah menetapkan tiada riba (lagi diamalkan).” Jelas, Islam menolak sekeras-kerasnya amalan riba kerana menindas peminjam dengan mengenakan bayaran kembali dalam jumlah melebihi modal dipinjamkan. Ini menzalimi si peminjam yang kemungkinan besar masih kesempitan wang.

Dalam khutbah Hujjatul Wada, Rasulullah SAW juga menyebut hak wanita dalam hubungan suami isteri dan masyarakat. Baginda SAW bersabda yang bermaksud, “Wahai manusia! Kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu dan mereka pula mempunyai hak ke atas kamu.”

Wanita berhak ke atas suaminya untuk menerima nafkah zahir dan batin termasuk tempat berlindung, pakaian dan hubungan intim suami isteri. Wanita juga tidak boleh dijadikan hamba dan ditindas dalam institusi kemasyarakatan. Baginda SAW menyambung lagi, “Jika mereka melakukannya (kejahatan atau kemungkaran), Allah membenarkan kamu untuk meninggalkan tidur dengan mereka dan memukul mereka dengan pukulan tidak keras. Jika mereka berhenti daripada perbuatan ini, mereka berhak mendapat rezeki dan pakaian yang baik. Terimalah pesanan aku untuk berbuat baik dengan wanita ini. Mereka adalah pembantu kamu. Mereka tidak memperoleh apa-apa bagi diri mereka. Kamu mengambil mereka sebagai amanah Allah serta menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah.”

Seterusnya Baginda SAW berpesan supaya berpegang kepada dua sumber utama Islam iaitu kitab al-Quran dan sunnah kerana ia tidak akan menyesatkan dan tidak hilang sehingga kiamat. Baginda SAW bersabda mafhumnya, “Fahamilah sabdaku ini, wahai manusia! Sesungguhnya aku sudah menyampaikan. Aku tinggalkan kepada kamu satu perkara yang jelas, jika kamu berpegang teguh dengannya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, (yakni) kitab Allah dan sunnah nabiNya.”

Akhirnya Rasulullah SAW berpesan semua umat Islam itu bersaudara dan mesti saling mengingati dengan melakukan dakwah, seruan penting agar  mengingatkan umat Islam supaya kekal di jalan lurus dan tidak terpengaruh dengan amalan hidup kekafiran dengan sabda Baginda, “Wahai manusia! Dengar dan fahamilah sabdaku. Kamu tahu bahawa setiap orang Islam saudara (bertanggungjawab) kepada orang Islam yang lain. Sesungguhnya orang Islam bersaudara.”

#khutbah
Sumber Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 7 Oktober 2015
https://ikimfm.my/menghayati-khutbah-terakhir-rasulullah-saw/

0 comments:

Contact Me

Snap & Read with QRCODE Reader

http://zxing.appspot.com/generator/