Assalamualikum, di kesempatan bulan Ramadhan (Jadual Harian Bulan Ramadhan) yang penuh dengan segala-galanya ini, saya ingin mengucapkan selamat berpuasa dan bersama-samalah kita mengambil kesempatan diatas peluang yang telah Allah berikan ini untuk mencari Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah.
Nuzul Al-Quran
Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya
berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang
ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam
Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW.
Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke
bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW
maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya
yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’
bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang
menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat,
muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering
dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau
‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan
al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di
dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam
al-Quran. Firman Allah:
Dan
tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun
burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat
seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam
sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan
Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail
ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
”Bacalah
(wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian
makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan
Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan
tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(al-‘alaq:1-5)
Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul
Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa
sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya
berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik
dari 1000 bulan.
Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran
dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama
lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis
Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT
Maksudnya:
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam
Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia
kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik
daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan
izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan
berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat)
itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)
Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan
satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah
menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80
tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat
kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada
Rasulullah SAW menyatakan bahawa
Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun
membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini
lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah
SAW dan para sahabat amat gembira.
Dalam
hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda
bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul
qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada
bulan Ramadhan.
Panduan
Dari
maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan
panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah
seperti:
1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
3. Kelemahan
umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila
kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
Apabila
disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam
al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan
yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek
kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan
teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran,
kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului
umat-umat lain di dunia ini.
Manakala
penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu
‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu
pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia
melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak
diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan
penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam
penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui
satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.
Perkara
ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi
Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam
akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana
ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan.
Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di
10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini
akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu
sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh
hidup kita dan usia kita dalam ibadah.
Bagi
mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka
kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang
tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam
pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam
al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21
Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga
hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan
seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya
bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu
adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah
kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari
satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang
akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam
Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap
Kesimpulan
Sebagai
kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini
sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita
seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu
pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang
lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui
penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah
suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu
kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu
pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan
penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya
memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari
belenggu kelemahan dan penghinaan.
Petikan dari NUZUL al- Quran Dan Lailatul Qadar Oleh: Dr. Samsu Adabi Mamat, Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam
via:
http://www.islam.gov.my/en/nuzul-al-quran-dan-lailatul-qadar
http://faizar.atspace.com/ramadhan/lailatulqadar.html
http://faizar.atspace.com/ramadhan/qiamullail.htm
http://www.islam.gov.my/en/nuzul-al-quran-dan-lailatul-qadar
http://faizar.atspace.com/ramadhan/lailatulqadar.html
http://faizar.atspace.com/ramadhan/qiamullail.htm
0 comments:
Post a Comment