Thursday, July 07, 2011

KHUTBAH JUMAAT: "BAGAIMANA MEMBENTUK KELUARGA BERIMAN"

Masjid_negeri-selangor

Khutbah Jumaat - 8 Julai 2011

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.

 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Islam telah menetapkan bahawa keluarga adalah merupakan satu tempat pergantungan manusia untuk menjaga diri, menaungi dan mendapat ketenteraman serta kebahagiaan dalam sebuah kehidupan. Ianya merupakan suatu nikmat yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada umat manusia. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T dalam surah An-Nahlu ayat 72:

 "Dan Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri dan dijadikan bagi kamu daripada isteri kamu anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu daripada benda-benda yang baik lagi halal, maka patutkah mereka percaya kepada perkara yang salah dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

         Keluarga adalah merupakan suatu amanah daripada Allah S.W.T yang harus dijaga dan dipelihara dengan baik. Anak-anak kita adalah dianggap sebagai amanah Allah S.W.T. dan suami atau bapa adalah merupakan orang yang berperanan dan bertanggungjawab untuk membimbing ahli keluarganya ke arah mencari kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

          Ilmu agama dalam diri kita adalah benteng yang mampu menangkis segala cabaran dalam mengharungi kehidupan di dunia ini. Ia juga menjadi panduan kepada kita agar tidak tersesat daripada menuju ke matlamat akhir kehidupan ini.

Tanpa ilmu agama, sudah pasti hidup kita akan tersesat dan terumbang-ambing tanpa arah dan tujuan yang sebenar. Oleh kerana itu, tanggungjawab utama yang harus diberikan tumpuan oleh suami isteri selaku ibubapa dalam usaha membentuk keluarga beriman adalah dengan didikan agama yang secukupnya.

Didikan agama ini pula mestilah menekankan perkara-perkara yang berikut:

Pertama  :Penekanan kepada pendidikan Al-Quran, kerana ianya merupakan satu-satunya mukjizat yang dapat melembutkan dan membentuk jiwa manusia yang beriman. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Anfal ayat 2 ;

"Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatnya bertambahlah iman mereka. Kepada Tuhan mereka jualah mereka bertawakkal."

Kedua     :Penekanan terhadap amalan sunnah Rasulullah S.A.W, kerana setiap sunnahnya adalah berlandaskan syariat Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Hasyr ayat 7:

"Apa jua yang diberikan oleh Rasulullah S.A.W (sama ada pemberian atau perintah) kepada kamu, maka terimalah, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukan maka, patuhilah larangannya. Bertaqwalah kepada Allah; Sesungguhnya Allah amat berat azabnya (bagi orang yang melanggar perintahnya) ".

Ketiga       :Penekanan terhadap ilmu-ilmu aqidah dan akhlak yang menjelaskan perihal kehidupan umat Islam. Sesungguhnya hanya dengan aqidah yang benar sahaja dapat melahirkan sifat ikhlas ketika beribadah kepada Allah S.W.T.

Keempat   :Penekanan terhadap ilmu feqah sama ada yang berkaitan dengan ibadah, muamalah mahupun siasah. Dengan ilmu feqah akan dapat menjelaskan dan memisahkan antara perkara yang hak dan batil, seterusnya dapat mengelakkan daripada terjerumus ke dalam kejahilan, kemaksiatan dan keingkaran kepada Allah S.W.T. Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Daripada Muawiyah R.A berkata bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: "Barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan dengannya, Allah akan memberikannya pemahaman dalam perkara agama".                                                              

(Riwayat Al-Bukhari)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Membentuk sebuah keluarga bukanlah untuk sehari dua sahaja, bahkan ianya akan terus berkekalan selama mana hayat dikandung badan. Maka usaha ini sudah pasti akan menempuh pelbagai cubaan dan juga rintangan.

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Anfal ayat 28 yang bermaksud:

"Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu adalah menjadi ujian bagimu, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar".

Kejayaan ibubapa membentuk keluarga beriman akan menjadi cermin kepada anak-anak apabila mereka juga membina sebuah keluarga suatu masa kelak. Oleh kerana itu, ibubapa seharusnya menjadi contoh teladan yang baik sepanjang masa kepada kehidupan anak-anak. Perkara ini penting kerana ia akan mempengaruhi kelangsungan hidup generasi seterusnya secara turun-temurun, kerana kemerosotan akhlak pada hari ini sudah pasti akan menyumbang kepada kerosakan akhlak pada masa akan datang.

Amat malang pula pada hari ini apabila kita dapati ada sesetengah ibubapa yang lalai dan gagal memberikan contoh teladan yang baik kepada generasi anak-anak muda. Akibatnya, anak-anak pula yang menjadi mangsa kelalaian mereka. Inilah yang diibaratkan seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan dengan betul sedangkan dia sendiri berjalan mengiring.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Gaya hidup yang semakin moden pada hari ini telah menjadikan peranan dan tanggungjawab ibubapa untuk membentuk keluarga beriman semakin bertambah berat dugaan dan cabarannya. Ini kerana generasi yang ada pada hari ini sudah terlalu banyak terdedah kepada pengaruh dan budaya luar yang kebanyakannya bersifat negatif. Perkara-perkara negatif ini pula mudah diperolehinya dipasaran terbuka, di kedai-kedai, melalui saluran televisyen dan juga melalui internet. Akibatnya, jiwa anak-anak yang tidak ditanamkan dengan keimanan ini telah kehilangan pedoman dan semakin jauh daripada batasan-batasan keagamaan. Apabila sudah tiada pedoman maka berlakulah pula perbuatan-perbuatan jenayah di luar batasan kemanusiaan seperti pembunuhan, pembuangan bayi dan lain-lain lagi. Kesemua perkara ini pasti tidak akan berlaku sekiranya jiwa mereka diasuh dan dididik dengan nilai-nilai keimanan kepada Allah S.W.T.

          Maka, marilah kita tunjukkan contoh teladan terbaik kepada anak-anak kita supaya  terbentuk sebuah keluarga yang bahagia dan beriman kepada Allah S.W.T. Antaranya adalah seperti berikut:

Pertama : Ibubapa hendaklah menunjukkan disiplin diri yang baik di hadapan anak-anak terutamanya dalam soal-soal ibadah seperti solat dan ibadah lain. Sesungguhnya pengaruh ibubapa memainkan peranan yang amat penting dalam usaha untuk mendisiplinkan anak-anak.

Kedua   : Hendaklah melayan setiap ahli keluarga dengan penuh sopan santun. Cara ini akan dapat menambat hati anak-anak dan seterusnya akan lebih mudah untuk diikuti. Hakikatnya sikap bersopan santun ini merupakan aset yang paling berharga untuk ditanamkan dalam diri anak-anak.

Ketiga  : Menunjukkan sikap bertanggungjawab terhadap anak-anak. Ibubapa yang sering mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak dan keluarga akan menyebabkan anak-anak menyisihkan diri daripada ibubapanya ataupun sebaliknya.

 Oleh kerana itu, adalah menjadi peranan dan tanggungjawab ibubapa untuk terus memantau kehidupan anak-anak ini pada setiap masa agar mereka tidak terus hanyut dalam bisikan-bisikan nafsu yang sentiasa mengajak kepada kejahatan. Sesungguhnya tanggungjawab ini bukan sekadar di dunia sahaja bahkan akan dipersoalkan oleh Allah S.W.T di akhirat kelak.

"Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya). Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkannya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".                               

                                                                                                          ( At-Tahrim: 6)

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan  kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. 

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Khutbah Jumaat Bacaan 8 Julai 2011

 

Muatturun Manual Khutbah Multimedia disini. 

0 comments:

Contact Me

Snap & Read with QRCODE Reader

http://zxing.appspot.com/generator/