Wednesday, March 07, 2018

Jadikan perpustakaan lebih santai, inovatif


Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM, Puncak Perdana

Jadikan perpustakaan lebih santai, inovatifartikel 
Oleh
Dr Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan,Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)


SUDAH sampai masanya pihak pengurusan perpustakaan dalam negara kita mengambil langkah lebih berani, kreatif dan inovatif bagi menarik minat orang ramai, khususnya golongan pelajar dan ahli akademik seperti pensyarah untuk berasa lebih selesa lepak di dalam perpustakaan.

Baru-baru ini pengguna sosial media telah didedahkan dengan berita melibatkan seorang pelajar yang berkongsi ketidakpuasan hatinya apabila dia diminta mengemas dan memberi tempat kepada pelanggan lain ketika sedang belajar di sebuah kafe Starbucks di Singapura.

Dunia kini sudah berubah, generasi masa kini juga sudah mula bertukar selera termasuk memilih tempat bagi mengulang kaji pelajaran mereka. Perkara ini bukan sahaja berlaku di Singapura malah turut merebak ke serata dunia termasuklah Malaysia.

Jika dilihat, golongan pelajar termasuklah para pensyarahnya lebih gemar masuk ke restoran-restoran makanan segera, kafe, kedai mamak untuk lepak, berbincang hal tugasan dan kajian akademik serta mengulang kaji pelajaran. Paling penting, tempat terbabit ada menyediakan kemudahan Wifi yang kuat, maka mereka akan mula berpusu-pusu ke sana.

Perkara berlainan pula berlaku kepada perpustakaan kita yang kelihatan sentiasa lengang dan sepi. Sekali-sekala penuh pada minggu peperiksaan.  Mungkin, generasi masa kini inginkan sebuah tempat yang mempunyai segala jenis kemudahan memudahkan segala urusan mereka seperti tempat duduk lebih selesa, alunan muzik yang sentiasa dimainkan dalam lokasi berkenaan, kemudahan televisyen, pendingin hawa, makanan dan minuman yang sentiasa tersedia.

Berbanding perpustakaan yang mempunyai pantang-larang mereka tersendiri (iaitu peraturan dan undang-undang) yang kadang-kadang melemaskan para pengunjung seperti tidak membenarkan membawa masuk beg ke dalam perpustakaan, tidak dibenarkan untuk makan dan minum, kemudahan tandas kurang sempurna, tempat makanan jauh dari tempat mengulang kaji dan lain-lain perkara lagi. Lokasi perpustakaan yang jauh dengan tempat kediaman berbanding tempat-tempat pilihan lain, boleh juga menjadi satu faktor penentu.

Oleh itu, bagi menarik minat semua golongan bagi terus menggunakan perpustakaan dalam negara kita adalah penting bagi pihak pengurusan perpustakaan mengambil satu pendekatan yang lebih berani, kreatif dan inovatif bagi menjadikan perpustakaan mereka sebagai magnet atau tarikan orang ramai untuk ke sana. Pihak pengurusan perpustakaan perlu rajin turun padang ke semua lokasi yang menjadi pilihan generasi muda masa kini untuk mengulang kaji pelajaran serta mengambil langkah melakukan proses penambahbaikan terhadap perpustakaan sedia supaya setanding dengan semua tempat yang menjadi pilihan orang ramai.

Perpustakaan masih mempunyai peranan penting dalam melahirkan masyarakat berilmu, namun segala bentuk sistem yang mereka miliki pada masa kini serta tahap pengurusan perpustakaan perlu lah memenuhi cita rasa dan gerak hidup generasi masa kini, bukan cita rasa dan gerak hidup generasi sebelum milenium.

Jadikan perpustakaan lebih santai, inovatif

Oleh
Dr Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan,Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)


sumber

http://www.sinarharian.com.my/kampus/jadikan-perpustakaan-lebih-santai-inovatif-1.735885

 http://bit.ly/2FoWaKh
Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM, Puncak Perdana



Bacaan lain

Library Makeover Idea, Small Budget, Big Impact Ideas
http://bit.ly/2FoWaKh
#:Idea #Library #Makeover


Perpustakaan rumah kedua

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN

http://ww1.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131226/ke_01/Perpustakaan-rumah-kedua


Suasana di perpustakaan perlukan perubahan
SASTERA
ARKIB : 02/03/2012
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_01.htm

0 comments:

Contact Me

Snap & Read with QRCODE Reader

http://zxing.appspot.com/generator/