Friday, February 25, 2011

Hanya 30 peratus rakyat guna perpustakaan - LAPORAN KHAS


KUALA LUMPUR 25 Feb. - Hanya 30 peratus rakyat di negara ini menggunakan perpustakaan dan kebanyakannya adalah pelajar, sedangkan kadar celik huruf melebihi 90 peratus.

Petunjuk Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) itu hakikatnya belum lagi menepati kriteria sebenar masyarakat berilmu diinginkan.

Menyedari hakikat itu, kerajaan memperuntukkan RM1.8 juta bagi menjayakan pelbagai kempen membaca terutama di luar bandar termasuk Jelajah Kelab Membaca Sinar Pintar ke perpustakaan desa terpilih di seluruh negara.

Selain itu adalah perkhidmatan pintu ke pintu selain beberapa lagi aktiviti yang berkaitan.
Bagi membangunkan infrastruktur dan perkhidmatan perpustakaan desa sahaja, kerajaan membelanjakan RM150 juta dari 2005 hingga 2007.

Bermula dengan pembinaan 50 perpustakaan desa pada 2007, kini terdapat sebanyak 1,089 buah keseluruhannya. Daripada jumlah itu, 925 buah dibekalkan dengan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Bagaimanapun, matlamat menerapkan budaya membaca dan melahirkan masyarakat berilmu seolah-olah masih jauh untuk dicapai.

Lihat sahaja di sekeliling kita terutama apabila menggunakan pengangkutan awam atau semasa menunggu seseorang di restoran.

Kebanyakannya hanya membazirkan waktu begitu sahaja dengan 'bermain' telefon bimbit. Jarang sekali melihat mereka membaca buku.

Sama ada disedari atau tidak, hidup kita sentiasa dikawal oleh tabiat. Tabiat membentuk gaya kehidupan individu - positif atau negatif.

Mengulas perkara ini, Felo Amat Utama Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady berkata, dalam mengejar kejayaan, individu harus membina dan mengawal tabiat diri.

Katanya, walaupun membaca adalah tabiat yang menjadi asas kecemerlangan hidup seseorang itu, namun ramai di kalangan masyarakat terutama orang Melayu lebih tertarik dengan pelbagai bentuk hiburan.

"Ini tabiat yang perlu kita perbetulkan bagi menggelakkan keadaan lebih mendatangkan kesan negatif kepada pembentukan peribadi dan moral masyarakat," katanya ketika dihubungi di sini, baru-baru ini.

Sumber : 

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_03.htm

0 comments:

Contact Me

Snap & Read with QRCODE Reader

http://zxing.appspot.com/generator/