Tuesday, February 22, 2011

Perpustakaan makin sepi - LAPORAN KHAS


LAPORAN KHAS

Perpustakaan makin sepi

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Sikap rakyat tidak suka membaca buku menjadikan perpustakaan sepi, terpinggir dan hanya mendapat sambutan pada musim tertentu.Amat menyedihkan. Purata pengunjung di perpustakaan pada hari-hari biasa hanya 10 hingga 30 orang.



Tinjauan Unit Khas Utusan Malaysia ke beberapa perpustakaan daerah dan desa sekitar Lembah Klang mendapati perpustakaan terbabit lengang.

Yang kelihatan hanya kelibat kanak-kanak. Sukar untuk melihat kehadiran orang dewasa apatah lagi remaja di gedung ilmu tersebut.

Menurut Penolong Pengawai Perpustakaan Daerah Gombak, Nor Chempawan Mat Abu, 27, fenomena kunjungan bermusim itu sudah lama terjadi dan sehingga kini masalah tersebut masih sukar diatasi.
"Peribahasa 'selangkah ke perpustakaan sejuta pengetahuan' semakin dilupakan. Ini ekoran persepsi masyarakat yang hanya terfikir untuk ke perpustakaan apabila tiba waktu-waktu tertentu sahaja.
"Perpustakaan mendapat sambutan hangat apabila menjelang musim peperiksaan di sekolah dan universiti selain jika ingin menyiapkan tugasan sekolah," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Bagi mengatasi masalah itu, Nor Chempawan berkata, fungsi perpustakaan harus ditingkatkan iaitu bukan sekadar tempat membaca tetapi menjalankan aktiviti lain.

"Dalam usaha menjadikan perpustakaan sebagai rumah kedua, pelbagai aktiviti ilmiah yang bersifat interaktif harus dilaksanakan.

"Misalnya, menyediakan kemudahan Internet secara percuma selain menarik lebih ramai ibu bapa bersantai bersama anak- anak mereka di perpustakaan," katanya.

Sementara itu, seorang Pembantu Perpustakaan Desa Kampung Pandan, Norfaziha Roslan, 22, berkata, walaupun jumlah buku di perpustakaan desa itu lebih daripada mencukupi, ia gagal menarik minat orang ramai untuk berkunjung.

"Sejak beroperasi pada Julai 2008, perpustakaan ini memiliki 7,920 buku pelbagai genre dengan 300 daripadanya buku bahasa Inggeris.

"Apa yang dikesalkan hanya 8,175 rekod pinjaman buku oleh 779 ahli perpustakaan desa," katanya.
Dalam pada itu, Norfaziha berkata, perpustakaan desa itu mencatatkan kedatangan tertinggi pada April, Oktober, November dan Disember.

Sementara itu, seorang Pembantu Perpustakaan Desa Kampung Melayu Ampang, Nurazlin Rusali, 22, berkata, sasaran mendapatkan 30 ahli baru perpustakaan itu dalam tempoh sebulan sukar dicapai.
"Walaupun banyak aktiviti dilakukan bagi menarik penduduk menjadi ahli, masih sukar mencapai sasaran 30 ahli baru setiap bulan.

"Setakat ini, jumlah tertinggi ahli baru mendaftar hanyalah separuh daripada sasaran tersebut iaitu 15 orang," katanya.


sumber 

0 comments:

Contact Me

Snap & Read with QRCODE Reader

http://zxing.appspot.com/generator/