BUAT peminat filem aksi, Transformers dan Batman, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri kehebatan replika kedua-dua mesin terhebat dari Hollywood di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Dengan kehadiran hero bersaiz 16 kaki kesukaan ramai, Bumblebee, Chevy Camero SS kuning yang bertukar menjadi sebuah robot dalam filem blockbuster itu dan Batmobile, yang ditonjolkan dalam filem Batman Begin dan Dark Knight bakal membawa kelainan buat pengunjung pada tahun ini.
Selain itu, KLIMS pada tahun ini juga bakal menampilkan kereta-kereta hybrid rekaan terbaru bagi merangsang pengunjung pada pameran kereta yang lebih mesra terhadap ekosistem dari prototaip hijau kepada inovasi-inovasi hybrid, Disember ini.
Presiden Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, kehadiran kereta-kereta hybrid ini sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pengecualian penuh duti import dan 100 peratus duti eksais untuk francais kereta-kereta hibrid sehingga 31 Disember, 2011.
"KLIMS-10, merupakan satu platform untuk memberikan pendedahan dan pengalaman peribadi kepada pelanggan-pelanggan yang berpotesi mengenai produk hijau.
"Kereta-kereta mesra ekosistem ini akan memberikan keajaiban untuk negara, landskap dan persekitaran untuk kebaikan generasi akan datang."Oleh itu, biarkan kita menyambut lebih banyak kenderaan-kenderaan hibrid di masa akan datang," katanya.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen ketika majlis kempen iklan dan promosinya, baru-baru ini.
Tambahnya, untuk membangkitkan kehangatan kepada orang awam, beberapa kereta konsep turut dipamerkan pada pameran motor tersebut termasuk kereta-kereta futuristik yang bakal menjadi kenderaan harian anda ke rumah dan tempat kerja.
"Kereta-kereta konsep ini akan memberikan satu pendekatan dan sentuhan peribadi buat alaf akan datang.
"Selain mempamerkan produk automotif terbaru dan inovasi-inovasi yang boleh diperoleh di pasaran hari ini, kami berharap KLIMS bakal mengemukakan inisiatif-inisiatif industri automotif dalam menyumbang kepada kesejahteraan manusia sejagat," jelasnya.
Lantaran permasalahan ekosistem yang terjadi di seluruh dunia, tahun ini juga KLIMS-10 memilih untuk menggunakan 'Kami Peduli' sebagai tema pada tahun ini dengan menitik beratkan kepada empat teras penjagaan iaitu didorong oleh komitmen, berfokus pada kemajuan, boleh dipercayai dan mengambil berat tentang alam sekitar.
Di KLIMS juga, pengunjung berpeluang untuk memenangi sebuah kereta hybrid, Toyota Prius, Proton Saga dan motosikal Naza dengan hanya membeli tiket masuk.
Selain itu, pakej khas percutian perjalanan pandu dan tunggang sendiri juga ditawarkan oleh Chevrolet Captiva dan Harley-Davidson boleh didapati.
KLIMS bakal bermula pada 3 hingga 12 Disember 2010 dan untuk mereka yang ingin mendapatkan tiket boleh melayari laman web www.klims10.com.
sumber utusan http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rekreasi&pg=rk_03.htm
0 comments:
Post a Comment