Sunday, January 30, 2011

Rancangan Radio IKIM 2011 dan Laman Web IKIMfm baru






Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) baru-baru ini telah mengadakan Sidang Media bagi mewar-warkan berhubung Rancangan Radio 2011 dan juga Pelancaran Laman Web Rasmi IKIMfm.

Pelancaran Rancangan Radio 2011 itu meliputi 7 rancangan baru dan 13 rancangan musim lalu yang diperkasakan lagi dari segi teknik persembahan dan format siaran agar lebih bersifat interaktif pendengar.
Tujuh rancangan baru tersebut adalah, Worldview of Islamic Economics, Dimensi al-Zahra, Baiti Jannati, Inner Dimension (a programme for youth), Dunia al-Atfal, Nur Hikmah (Drama Bersiri) dan Durus Arabiah. Program-program ini akan bermula bulan Febuari 2011, melainkan drama Nur Hikmah sudah bersiaran sejak  Januari lalu. Turut dilancarkan di majlis yang sama adalah Laman Web Rasi IKIMfm di URL http://www.ikimfm.my

Y.Bhg. Datuk Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Hj. Nik Hassan ketika melancarkan rancangan-rancangan baru IKIMfm untuk tahun 2011 ini berharap rancangan baru yang diperkenalkan ini mampu menarik lebih ramai pendengar.

Rancangan Worldview of Islamic Economics adalah rancangan yang dikendalikan sendiri oleh Y.Bhg. Datuk Nik Mustapha bin Nik Hassan, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Ianya program berbahasa Inggeris membincangkan berhubung pandangan hidup dari perspektif ekonomi Islam. Dengan pengalaman beliau yang luas dalam bidang ekonomi Islam, prinsip-prinsip ekonomi akan dapat dikupas dengan mantap dan terperinci mengambilkira realiti semasa hari ini. Program 15 minit yang diterbitkan oleh Ahmad Nazri Mohd. Yusof ini akan ke udara setiap hari Sabtu jam 6.00 petang dalam segmen English Section.  

Dimensi al-Zahra pula adalah rancangan bual bicara 30 minit yang akan menemubual tokoh-tokoh wanita yang telah berjaya dalam lapangan mereka. Menyelongkar sudut pandangan wanita terhadap perspektif dan dimensi baru berkaitan bidang mereka dan bagaimana mereka melihat kerjaya sebagai sumbangan kepada agama, keluarga dan masyarakat. Berkongsi pengalaman kejayaan mereka sebagai contoh dan inspirasi kepada golongan wanita menjadi umat yang berjaya di dunia dan akhirat. Ianya diterbitkan oleh Nik Hasnah Ismail dan akan ke udara setiap hari Ahad jam 5.15 petang.

Program untuk remaja pula akan dikendalikan oleh seorang tokoh yang cukup terkenal khususnya di Barat iaitu Suhaib Webb atau lebih dikenali sebagai Imam Suhaib. Program selama 15 minit yang dinamakan Inner Dimension (a programme for youth) dalam berbahasa Inggeris akan memfokuskan golongan remaja sebagai usaha membina generasi yang akan meneruskan pembangunan ummah masa depan. Memberi panduan Syariat dalam pembangunan dan penghayatan kerohanian kepada remaja bagi mengharungi cabaran semasa yang semakin. Rancangan bermatlamatkan pembinaan generasi remaja agar mengenali Islam sebagai Ad-Deen dan menghayatinya dalam kehidupan harian. Ianya diterbitkan oleh Mazlina Ismail dan dijadualkan ke udara setiap hari Ahad jam 6.30 petang dalam segmen English Section.

Rancangan berkaitan hal ehwal kekeluargaan Baiti Jannati (Rumahku Syurgaku) bertujuan untuk memberi kefahaman kepada masyarakat tentang peri pentingnya membina keluarga yang bahagia. Memberi fokus kepada ciri-ciri kekeluargaan sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Mengatasi masalah-masalah rumahtangga dari perspektif Islam mengikut kaedah al-Quran dan As-Sunnah. Rancangan bermatlamatkan untuk melahirkan keluarga yang cemerlang dunia dan akhirat ini akan dikendalikan oleh Ustaz Hj. Khalid Isa. Ianya diterbitkan oleh Nik Hasnah Ismail. 

Dunia al-Atfal (Alam Kanak-kanak) pula adalah rancangan berbentuk majalah dalam bahasa Arab untuk para pendengar dari kalangan anak-anak yang berusia 7-12 tahun. Ianya mengandungi empat segmen iaitu kisah para nabi dan rasul, belajar bahasa Arab, adab-adab Islam dan pelajaran tajwid dan tarannum. Rancangan ini akan mencungkil bakat di kalangan kanak-kanak untuk mengendalikan setiap segmen bersama Penerbit/Penyampai rancangan Mona Jasman.Ianya akan disiarkan setiap hari Ahad jam 2.00 petang selama sejam. 

Sebuah lagi rancangan berbahasa Arab iaitu Durus Arabiah yang merupakan kesinambungan rancangan belajar bahasa Arab (Hayya Bil Arabiah) yang disiarkan setiap Isnin-Jumaat jam 8.30 pagi. Durus Arabiah memberi peluang kepada pendengar untuk belajar dan memantapkan aspek Tatabahasa (Nahu) dan Morfologi (Saraf)  bahasa Arab mereka. Diterbitkan oleh Mona Jasman dengan tetamu beliau ialah Ustazah Nur Aina Sabariah bt. Md. Isa. Program selama sepuluh minit ini bakal ke udara setiap Sabtu jam 9 pagi dan Ahad jam 8.30 pagi.

IKIMfm juga mencipta kelainan pada tahun ini apabila memperkenalkan rancangan drama bersiri 12 episod Nur Hikmah. Ianya ke udara setiap Jumaat jam 2.30 petang . Drama Islami 15 minit ini cuba mengenengahkan pelbagai kisah kehidupan masyarakat melalui tajuk-tajuk seperti ‘Insaf’, Terabai, Derhaka Isteri Kasih Seorang Suami, Ceti Haram dan lain-lain. Kisah-kisah yang dipaparkan dalam setiap siri drama ini sarat dengan pengajaran, pendidikan yang mampu memberi tauladan kepada pendengar. Cerita-cerita yang terdapat dalam setiap siri drama menampilkan realiti kehidupan manusia yang terkadang alpa terhadap nikmat dan rahmat Allah, namun dengan hidayah Allah s.w.t, setiap kesilapan yang dilakukan akhirnya menemui penyelesaian, memberi keinsafan dan mengembalikan kehidupan insan ke arah mendapat keredaan Allah.Diterbitkan oleh Nik Hasnah Ismail dengan dibantu oleh Mohd.Azree Baharom. Drama ini dibintangi oleh pelakon dan pelawak terkenal tanahair Sabri Yunus dengan dibantu oleh penyampai-penyampai IKIMfm dan kakitangan Bahagian Radio. Skrip disediakan oleh Putra Embun Pagi. Ianya telah mula ke udara sejak 7 Januari lalu dan mendapat respons positif dari masyarakat pendengar. ~IKIMfm



0 comments:

Contact Me

Snap & Read with QRCODE Reader

http://zxing.appspot.com/generator/