Fungsi tradisional sebuah perpustakaan ialah meminjamkan buku kepada pengguna. Buku di Malaysia umum diketahui adalah terlalu mahal untuk dimiliki dan perpustakaan membenarkan golongan berpendapatan rendah untuk menimba ilmu tanpa mengeluarkan wang yang banyak. Di kolej ia menjadi tempat popular untuk mengulangkaji pelajaran kerana ianya senyap dan sejuk berbanding bilik asrama. Fungsi tradisional ini semakin kurang mendapat sambutan dan perpustakaan terpaksa berevolusi untuk kekal relevan. Di negara maju perpustakaan awam menjadi tempat ahli komuniti untuk mendapatkan akses kepada komputer dan Internet. Ini digunakan oleh mereka untuk mendapatkan pengajian atas talian dan mencari kerja. Tanpa perpustakaan sebegini golongan kurang kemampuan akan tercicir dari mendapatkan perkhidmatan IT.
Perpustakaan di Kansas State Library telah menawarkan perkhidmatan meminjamkan MiFi percuma kepada pengguna. Beberapa unit MiFi dengan kelajuan LTE boleh dipinjam dengan tempoh tertentu. Sepanjang tempoh pinjaman pengguna boleh melayari Internet secara percuma di mana sahaja mereka berada. Perkhidmatan ini diperkenalkan bagi memudahkan pengguna yang tidak mempunyai perkhidmatan Internet di rumah melayari web dengan mudah. Kesemua koleksi buku, majalah dan muzik digital yang dimiliki perpustakaan ini juga boleh diakses percuma melalui MiFi yang dipinjamkan. Ini bukanlah projek pendemokrasian Internet pertama mereka. Dua puluh tahun dahulu mereka mula memberikan akses kepada Internet secara percuma menggunakan komputer perpustakaan. Lapan tahun yang lalu pula mereka mula menawarkan WiFi percuma.
Ia mensasarkan penggunaan dari golongan pelajar dan mereka yang ingin mencari kerja. Waktu operasi perpustakaan yang terhad menghadkan akses Internet percuma untuk dua golongan ini. Inisiatif ini diharap dapat mengubah hidup pengguna dan menunjukkan perpustakaan masih kekal relevan di dalam dunia pasca buku. MiFi yang dipulangkan lambat akan dikenakan denda sehari dan sekiranya hilang mereka perlu membayar kos alat tersebut.
Sebuah idea di luar kotak yang menarik. Di Malaysia ini mungkin tidak akan menjadi kenyataan kerana terdapat banyak restoran dengan WiFi percuma serta majoriti rakyat Malaysia mampu melanggan perkhidmatan Internet perlahan yang murah.
sumber
http://kslib.info/CivicAlerts.aspx?AID=49
http://kslib.info/1157/MiFi-Pilot-Best-Practices
http://kslib.info/1107/MiFi-Pilot-2
https://en.wikipedia.org/wiki/MiFi
http://www.rfwireless-world.com/Terminology/mifi-vs-wifi.html
0 comments:
Post a Comment